Pelajar catat kemalangan elektrik tertinggi


KUALA LUMPUR: Pelajar sekolah kategori mangsa ketiga paling tinggi selepas pekerja kontraktor dan golongan tidak bekerja yang menjadi mangsa membabitkan kes kemalangan elektrik.

Naib Presiden (Penghantaran) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Rozimi Remeli berkata, antara punca utama kemalangan elektrik berkenaan ialah pemasangan dan senggaraan pendawaian elektrik yang tidak sempurna serta prosedur kerja selamat tidak dipatuhi sama ada di rumah, pejabat, sekolah mahupun kawasan pembinaan.



“Kebanyakan mangsa berusia antara 21 hingga 30 tahun. Berdasarkan statistik kemalangan elektrik yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga bagi tempoh 2005 hingga 2010, sebanyak 405 kes dilaporkan, 191 daripadanya kes maut.
“Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur saja, 24 kes dilaporkan di antara 2002 hingga 2010,” katanya di Seminar Kesedaran Keselamatan Elektrik 2011 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Sekolah Kebangsaan (Lelaki) Jalan Pasar, di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Timbalan Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jamaluddin Abdullah. Hadir sama, Ketua Kawasan Suruhanjaya Tenaga Pejabat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Difahamkan, jumlah terbabit turut termasuk mangsa cedera dan maut akibat kegiatan mencuri kabel elektrik.
Sementara itu, mengulas mengenai seminar itu, Rozimi berkata, program berkenaan bertujuan menyalurkan maklumat berkaitan kepentingan keselamatan elektrik.

“Justeru itu, kami mengambil pendekatan mensasarkan murid-murid sekolah untuk diberi pendedahan dan pengetahuan mengenai pentingnya keselamatan elektrik serta risikonya,” katanya.
“Seminar ini juga satu usaha jangka masa panjang untuk mengurangkan kecuaian yang mengakibatkan kemalangan elektrik,” katanya.

Seramai 280 peserta terdiri daripada 250 murid dan 30 guru pengiring daripada 30 sekolah sekitar zon Pudu mengambil bahagian pada seminar itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2011/07/12  sumber: MyMetro