191 mati akibat kejutan elektrik



MELAKA 14 April – Sebanyak 191 kematian dicatatkan akibat 405 kemalangan elektrik yang dilaporkan berlaku di seluruh negara dari 2005 hingga tahun lalu.

Naib Presiden (Penghantaran) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Rozimi Remeli berkata, pekerja kontraktor mencatatkan jumlah kematian tertinggi akibat kemalangan tersebut iaitu 45.9 peratus diikuti penganggur (25.2 peratus) dan pelajar (14.2 peratus).

Beliau berkata, jumlah kemalangan elektrik tertinggi dicatatkan adalah pada 2006 iaitu sebanyak 79 kes diikuti 75 kes pada tahun berikutnya dan 70 kes pada 2008.
Menurutnya, tahun lalu pula mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu 35 kes daripada 68 kemalangan yang berlaku berbanding jumlah kematian sebanyak 29 kes pada 2009, 29 kes (2008), 34 kes (2007), 30 kes (2006) dan 34 kes (2005).
Laporan juga mencatatkan, sepanjang tempoh itu faktor pemasangan dan senggaraan yang tidak sempurna menyumbang sebanyak 195 kes daripada punca kemalangan elektrik.
“Prosedur kerja selamat yang tidak dipatuhi juga menyumbang kepada punca kemalangan iaitu 164 kes diikuti pencerobohan di kawasan larangan sebanyak 54 kes,” katanya selepas Seminar Kesedaran Keselamatan Elektrik 2011 peringkat negeri Melaka di Sekolah Menengah Teknik Melaka Tengah, Bukit Katil hari ini.
Seminar sehari anjuran TNB itu disertai 240 murid tahun empat dan enam selain 60 guru dari 60 buah sekolah di negeri ini.

Majlis perasmian program itu disempurnakan Pengarah Pelajaran negeri, Juliah Leman.
Menurut Rozimi, bermula tahun ini, seminar yang mula dilaksanakan sejak 2007 itu akan menyasarkan murid sekolah rendah dan akan dilaksanakan di semua 13 buah negeri pada tahun ini.
“Pemilihan murid sekolah rendah amat penting bagi memberi kesedaran di peringkat awal mengenai kepentingan keselamatan elektrik. Dalam jangka masa panjang, usaha ini akan dapat mengurangkan kemalangan maut melibatkan pelajar sekolah akibat kecuaian elektrik,” katanya.
Setakat ini, jelasnya, pendedahan menerusi seminar itu telah diberikan kepada kira-kira 6,588 orang guru di lebih 1,481 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara dan telah menampakkan keberkesanannya.


Sumber: Utusan Online                                                                                                          
15/04/2011